Wednesday, May 02, 2012

Nadir Bumi (Rare Earth)



 Memahami manfaat nadir bumi


APABILA membincangkan tentang nuklear, lazimnya hanya membincangkan mengenai bom atau senjata sedangkan ramai mungkin tidak menyedari banyak teknologi berkaitan nuklear.


Sebagai contoh, teknologi sinaran seperti sinaran - X merupakan sebahagian daripada teknologi nuklear yang mana tidak ramai tahun mengenainya.


Siapa yang menyangka teknologi nuklear digunakan untuk digunakan dalam pelbagai teknologi. Sekadar beberapa contoh, mengesan kebocoran paip, teknologi menyahkuman dan juga dalam pertanian untuk menghasilkan varieti baru tanaman menerusi mutasi biji benih?


Apabila ancaman nuklear menjadi sebagai berita yang hangat diperkatakan, pengetahuan semakin bertambah mengenai apa dia loji nuklear sebagai penjana tenaga dan kemudiannya sedar betapa bahayanya radiasi.


Ancaman radiasi menjadi momokan ketika ini yang mana, manusia kelihatan lupa mengenai faedah tenaga nuklear, sebaliknya mereka semakin sangsi mengenai keselamatan teknologi nuklear dan kepentingannya dalam kehidupan seharian.


Sejarah nuklear di negara ini bermula dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Atom Tun Dr. Ismail (Puspati) pada 1972 yang kemudiannya di kenaili sebagai Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT). Kini MINT dikenali sebagai Agensi Nuklear Malaysia (MINT).


Penubuhan institut berkenaan sangat penting bagi mempelopori dan merintis pembangunan teknologi nuklear tempatan sebelum dipindahkan ke sektor swasta.


Dengan kejayaan tersebut, teknologi nuklear Malaysia berkembang dan disokong oleh program pengajian yang berkaitan nuklear yang ditawarkan beberapa universiti tempatan.


Kejayaan tersebut juga menandakan Malaysia memasuki fasa baru dalam penggunaan teknologi nuklear dengan wujudnya Akta Pelesenan Tenaga Atom yang membawa kepada penubuhan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).


AELB diwujudkan dengan tiga objektif utama ,3S iaitu Safety, Security dan Safeguard.


Sebagai badan regulator kepada aktiviti berkaitan nuklear yang membezakanya dengan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), AELB berfungsi sebagai badan pengawasan keselamatan dan mengawal aktiviti tersebut termasuk dalam pengurusan sisa radioaktif.


Ini bermakna segala aktiviti berkaitan dengan teknologi dan radiasi perlu mendapat kebenaran daripada AELB.


Fungsi itu turut merangkumi hal berkaitan kawalan import eksport dan kesediaan serta maklum balas kecemasan.


Menurut Pengerusi AELB, Datuk Dr. Sukiman Sarmani apa yang penting bagaimana Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kesedaran politik dan kemampuan pakar.


Kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dan aktiviti industri yang berkaitan nuklear perlu diterapkan selain menyediakan kemudahan yang sesuai.


"Kita perlu sentiasa membangunkan pelbagai aspek penting termasuk perundangan, teknikal dan kemampuan tenaga pakar profesional dan mengaplikasikan instrumen perundangan antarabangsa kepada sistem perundangan domestik," katanya.


Beliau berkata, mahu tidak mahu Malaysia perlu terokai bidang teknologi tinggi dalam usaha meningkatkan pendapatan negara.


Setiap teknologi tersebut mempunyai kebaikan dan keburukan, tetapi setiap risiko yang mungkin timbul boleh dikenal pasti dan di jangka impak dan kesannya.


Secara lazimnya, manusia bimbang dengan perkara yang tidak diketahui seperti takut hantu dan sebagainya.


Jangkauan dan penjelasan kepada masyarakat melalui pelbagai kaedah seperti media massa atau dialog akan dapat menjelaskan banyak perkara dan boleh merungkai masalah yang timbul manakala orang awam tidak boleh diberi maklumat salah yang memesongkan, mereka perlu diberi maklumat penuh tanpa berselindung.


Masyarakat kata Dr. Sukiman, lebih suka mendengar keburukan daripada kebaikan. Dengan itu katanya, menjadi tugas industri dan juga agensi kerajaan memberikan penjelasan sebaiknya berkenaan teknologi nuklear.


"Dalam dunia media baru (ini), lebih banyak laman web yang bersifat anti-nuklear oleh itu golongan para pro-nuklear perlu menghidangkan perkara kebaikan," tegasnya.


Mengulas lanjut beliau berkata, terdapat pelbagai undang-undang dan peraturan yang berkaitan teknologi tinggi dan teknologi hijau memandangkan masyarakat ketika ini amat prihatin dengan keselamatan alam sekitar, keselamatan dan kesihatan masyarakat.


Maka Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 dan Akta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom 1984 serta peraturan yang dibuat di bawah akta tersebut perlu difahami.


Jika masyarakat memahaminya maka penguatkuasaan segala peraturan akan dapat dilaksanakan lebih berkesan. Penglibatan masyarakat amat penting bagi menjamin keselamatan alam sekitar dan juga masyarakat juga.


Mengenai peraturan tersebut beliau menjelaskan, terdapat pelbagai kelas lesen untuk aktiviti tertentu. Kunci utama ialah pihak pemohon memastikan 3 S itu dipenuhi.


Pemohon mesti berupaya mempastikan pekerja, orang awam serta alam sekitar selamat daripada bahaya sinaran akibat daripada penggunaan teknologi berkaitan yang perlu dilesenkan.


Bahan-bahan radioaktif yang diguna mestilah diawasi dari segi keselamatan fizikal bagi mengelakkan daripada kecurian atau salah guna dan pemohon lesen mestilah juga berupaya menjaga bahan nuklear daripada ancaman keganasan.


Mengulas mengenai isu Lynas atau nama penuhnya Lynas Advance Material Plant (LAMP), Dr. Sukiman berkata, syarikat berkenaan bercadang memproses bijih bagi menghasilkan unsur nadir bumi.


Kata beliau, unsur nadir bumi ialah sekumpulan 15 unsur kimia yang cukup istimewa sifatnya dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai industri seperti elektronik, paparan komputer, paparan telefon bimbit, bahan magnet untuk kenderaan hibrid, turbin angin bagi menghasilkan elektrik, bahan superkonduktor dalam kegunaan keretapi peluru, perkakas ketenteraan dan pertahanan.


Katanya, unsur nadir bumi amat berguna dalam teknologi tinggi dan teknologi hijau.


Pada tahun 1980-an terdapat syarikat Asia Rare Earth di Ipoh yang juga menghasilkan unsur nadir bumi daripada tahi bijih timah. Pada waktu itu undang-undang mengawal bahan radioaktif dan sisa kimia masih belum sempurna.


Pada masa ini, terdapat dua syarikat masing-masing di Ipoh dan Kemaman yang menghasilkan pewarna daripada mineral tahi bijih dan mineral ilmenit dan rutile bagi menghasilkan bahan pigmen titanium dioksida (titanium dioxide).


Kedua-dua syarikat terbabit, juga tertakluk kepada Akta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.


Mengulas lanjut, beliau seterusnya berkata, Lynas adalah salah satu usaha penerokaan teknologi tinggi berkaitan dengan sektor sumber tenaga hijau.


"Jika kita ingin meningkatkan aktiviti hiliran penggunaan unsur nadir bumi kita perlu ada industri yang menghasilkan unsur nadir bumi dengan bekalan yang stabil dan harga yang memadai," katanya.


unsur nadir bumi boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan antaranya telefon bimbit

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...